
Bismillah. SEORANG anak muda yang baru berusia 20 tahun bernama Ahmad Ammar bin Ahmad Azam (1993-2013) telah menjadi topik perkongsian yang cukup hangat di alam maya selepas kes Villa Nabila baru-baru ini. Di laman sosial seperti Blog, Facebook, You Tube dan sebagainya, kisah hidup dan video tentang Ahmad Ammar banyak sekali menjadi perkongsian membuatkan ramai yang kagum kepada beliau dan dalam masa yang sama berasa sebak sehingga tanpa sedar mengalirkan air mata setelah membaca kisah atau menonton video perjalanan hidup pelajar Malaysia di salah sebuah universiti di Turki ini.
Sebenarnya, Ahmad Ammar telah kembali ke rahmatullah pada petang Sabtu 2 November 2013 jam 1.30 petang akibat kemalangan jalanraya dilanggar sebuah ambulan ketika melintas jalan di Istanbul, Turki. Ketika Allahyarham ingin melintasi sebatang jalan, kaki beliau telah tergelincir kerana jalan licin, terus dilanggar sebuah ambulan yang lalu terkena bahagian bahu beliau. Di Turki ambulan memang laju. Ibu bapa beliau tiba di airport pada esoknya dalam keadaan yang cukup tenang walaupun baru saja kehilangan seorang anak lelaki tunggal dalam keluarga. Setelah jenazah dimandikan, kelihatan peluh masih ada pada wajah beliau dan bagaikan orang yang sedang tidur.
Sebab Beliau dimuliakan di Turki
Setelah membaca tulisan Allahyarham, daku dapati anak muda berusia 20 tahun ini memang seorang yang berjiwa mulia dan mempunyai cita-cita yang tinggi untuk agama. Jadi selayaknyalah beliau memperolehi kemuliaan di bumi asing dan akhir hayatnya di dalamHusnul Khatimah iaitu sebaik-baik pengakhiran hayat seseorang menuju ke alam baqa.
Pada umur yang reletif masih muda, pemuda pendiam dan pemalu dengan wanita ini telah mengembara banyak tempat untuk menuntut ilmu, menimba pengalaman dan mencurah bakti untuk kesejahteraan ummah. Beliau juga menjadi sukarelawan menyertai misi kemanusiaan seperti di Syria. Ahmad Ammar juga pernah berhasrat untuk mati Syahid ketika menyertai misi kemanusiaan di Syria, malah pernah bermimpi jumpa bidadari semasa di sana.
Selain itu, Ahmad Ammar amat dikenali kerana mempunyai budi pekerti yang baik, tekun, berdisiplin, taat, bercita-cita tinggi dan sikap hormatnya kepada orang yang lebih dewasa. Beliau juga dihormati sebagai seorang yang kuat ilmu agama dan aktif dalam dakwah memperjuangkan agama Islam.
Keistimewaan Jenazah Ahmad Ammar Di Turki
Allahyarham Ahmad Ammar disemadikan di Perkuburan Eyub Sultanmenghadap Laut Golden Horn. Tanah perkuburan ini menempatkan jasad sahabat nabi s.a.w yang terkenal, iaitu Abu Ayyub Al Ansari r.a serta para auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di sana. Apa yang istimewanya, Datuk Bandar telah memberi pengecualian kepada Ahmad Ammar hingga Allahyarham menjadi orang Malaysia pertama disemadikan di sini.
Begitu ramainya orang yang hadir dari kalangan masyarakat setempat selain rakan-rakan satu universiti ketika Allahyarham disolatkan di Masjid Ayub Sultan (Masjid Ayub Al Ansari) seterusnya mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
Semoga kita semua dapat mengambil iktibar dengan kisah Ahmad Ammar ini. Semoga dia ditempatkan dengan orang yang beriman. amin.

No comments:
Post a Comment